Korbankan ‘Melayu’ Demi Islam? – By Saifulislam
Korbankan ‘Melayu’ Demi Islam?
Jul 4th, 2007 by saifulislam
 
Saya Muslim yang Melayu, di mana sahaja saya berada
“Kita mesti menghapuskan kefahaman bahawa kalau masuk Islam, maknanya masuk Melayu!â€, kedengaran ucapan sebegini di suatu pentas.
“Itulah masalahnya, apabila orang Melayu yang jaga masjid. Buat malu Islam sahajaâ€, komen pembaca yang kesal dengan insiden saya dan rakan-rakan dihalau dari masjid.
“Saya tidak mahu menukar nama kerana saya bukan masuk Arab atau masuk Melayu, tetapi saya masuk Islamâ€, tegas seorang saudara baru.
Ayat-ayat ini semakin lazim kedengaran.
Ketika masyarakat kita mula kritis dan mahu memurnikan agama, entah kenapa Melayu sering dipersalahkan. Semua kerosakan Islam di Malaysia, mahu dipersalahkan ke atas kemelayuan Melayu.
Puas saya menganalisa kemelayuan saya. Di manakah ciri Melayu saya yang telah memburukkan Islam? Saya tidak berjumpa.
Di manakah ciri Cina dan India, serta Eropah dan Amerika yang ada pada rakan-rakan saya yang dengan ciri itu telah menaikkan Islam? Saya tidak lihat faktornya ada pada bangsa mereka.
MELAYU VS. ISLAM?
Saya bimbang, dalam usaha kita untuk memurnikan Islam, kita menyalahkan Melayu secara melulu. Apakah ada pertentangan di antara menjadi Melayu dengan Islam?
Kini, kita selalu mendengar kisah betapa persoalan Melayu telah menjadi taboo dan menyulitkan sesetengah saudara kita yang mahu memeluk Islam. Mereka mahu Islam tetapi mereka tidak mahu kepada Melayu. Mereka mahu menukar agama dan kepercayaan, bukan adat dan budaya warisan.
Lalu garis pemisah antara Melayu dan Islam ditonjolkan. Yang baik itu Islam, manakala yang buruk-buruk itu dipikulkan ke atas ’masalah Melayu’, bukannya masalah Islam.
Saya percaya, jika hal ini tidak diperbaiki, akan timbul pula satu masalah lain. Sampai satu masa, orang akan takut dengan idea saudara baru dan ’Islam tulen’ yang diperjuangkan kerana ia memusuhi kemelayuan Melayu pula!Akan ada ibu bapa yang bimbang anaknya bakal mengahwini saudara baru kerana menantu itu hanya mahukan Islam dan menolak kemelayuan mereka.
Mari kita analisa komen pembaca-pembaca di dalam entry â€Muslim Pencemar Islamâ€. Berapa ramai yang menganalisa sudut manusia pegawai yang menghalau kami, dan berapa ramai yang segera mensabitkan hal ini ke atas kemelayuan Melayu.
MELAYU BURUKKAN SIKAP?
Saya tidak nampak, di mana kemelayuan Melayu yang mengajar manusia jadi biadab dan kurang ajar. Malah secara jujur, saya faham sebaliknya. Melayu amat menitik beratkan adab sopan.
Tidak memanggil orang yang lebih tua dengan nama.
Menerima berlapik, menolak beralas.
Menjaga bahasa berselang budi
Semua itu mendarah daging di dalam kemelayuan Melayu.
Kebiadaban pegawai itu bukanlah kerana mereka Melayu. Jika mereka itu benar orang Melayu, bahasanya bukan begitu. Cakapnya tidak melulu. Orang Melayu orang yang tertib. Tertib yang dikukuhkan oleh Islam yang menyuntik nilai Akhirat pada kebaikan yang dibuat.

SEMUA BANGSA ADA ‘DAKI’NYA
Siapa yang dapat menafikan kebiadaban dari bangsa lain?
Lama saya merantau ke negara Arab, biadab sebahagian (besar) mereka bukan kepalang.
Buruk-buruk Melayu, ponteng Solat Jumaat sorok-soroklah juga. Tetapi yang ’Arab’ duduk di depan kedai membilang orang yang ke masjid. Tiada malu.
Tidak amanah, suka menipu, kaki gaduh… asam garam dunia sekitar saya selama bermastautin di Dunia Arab.
Walaupun saya lazim memuji orang Turki, tetapi banyak juga kelat pahitnya mereka yang saya temui. Manusia khianat, berbahasa kesat, tetap ada dan sebahagian daripada realiti kehidupan mereka.
Biar pun saya memuji bangsa Eropah, sama ada yang English, Welsh, Scottish mahu pun Irish… mereka juga ada BANYAK sisi gelap yang menjijikkan keberadaan saya bersama mereka.
POTENSI MANUSIA
Semua manusia mempunyai potensi yang sama. Mereka berpotensi menjadi baik dan berpotensi menjadi buruk.
Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Asy-Syams 91 : 7-10)
Saya tidak perlu membuang kemelayuan saya untuk menjadi lebih Islamik. Malah banyak aspek kemelayuan diri yang saya pertahankan, malah menjadikannya sebagai sebahagian daripada perjuangan.
Saya amat menyayangi bahasa. Di samping belajar bahasa-bahasa asing untuk ilmu, ukhuwwah dan dakwah, Bahasa Melayu sentiasa saya pelihara kerana ia memberikan harga diri kepada saya yang menghormati diri sendiri.
Bercakap dengan betul dan baik di dalam bahasa ibu bapa saya adalah sebahagian daripada keutamaan hidup ini. Malah saya cukup tidak berkenan dengan generasi Melayu yang tidak pandai berbahasa. Bukan soal tatabahasa yang paling utama, tetapi berbahasa secara sedar untuk mengeluarkan warna diri yang baik atau tawar lagi hambar.
PUCUK MENJULANG AKAR MENCENGKAM
Saya sering umpamakan diri ini seperti pokok yang menjulang tinggi. Saya mahu dahan dan rantingnya mencecah tinggi melebar tepi, tempat bergantung segala hasil manfaat buat diri dan mereka yang mampir.
Tetapi saya mahu akar saya terus mencengkam bumi tempat saya dibenih dan tumbuh.
Biar pun saya cuba terjun ke pelbagai dunia yang amat asing dari kebiasaan orang Melayu, tetapi saya tidak mahu melepaskan akar umbi saya yang datang dari kemelayuan Melayu.
Saya boleh berdakwah di dalam Bahasa Inggeris, dan ketika berbahasa Inggeris, saya bukan hanya perlu bercakap di dalam Bahasa Inggeris, malah saya perlu berfikir dan bertindak, lain dari kebiasaan orang Melayu yang ada. Golongan ‘nobilities’ Melayu yang berbahasa Inggeris, bukan hanya mengalami perubahan bahasa, tetapi juga perubahan cara hidup, selera dan kecenderungan harian mereka. Saya perlu belajar untuk menghormati dan menyesuaikan diri dengan keadaan mereka.
Namun, saya tetap mengekalkan dakwah secara ‘selera Melayu’ saya. Berbahasa Melayu dengan dialek Perak dengan penuh yakin dan selesa, saya tidak lihat ia sebagai suatu kekurangan atau perkara yang memalukan, malah ia menjadi suatu kelebihan. Kuliah Maghrib adalah tempat saya berperanan.
Sebagaimana saya memaksa untuk meletakkan diri di dunia ‘asing’ seperti program IYEP dan MPF, saya juga terus mengekalkan Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh dan pengajian kitab.
Apabila kita boleh berbahasa dengan bahasa mad’u, ia adalah isyarat pertama yang kita ini ‘memahami’ mereka.
Pokoknya, kemelayuan yang ada pada diri saya adalah sebahagian daripada diri saya sendiri. Ia adalah suatu kelebihan, dan bukan halangan.
Buruk baiknya manusia sama ada di peringkat individu mahu pun masyarakat, adalah berkait rapat dengan cara kita dibesarkan, iaitu cara yang kita pilih.
TEGAS DALAM SOPAN
Melayu mengajar anak-anak beradab sopan dan menghormati orang tua, tetapi Melayu tidak menetapkan bahawa caranya ialah dengan menengking kanak-kanak dan memaksa mereka diam tidak bercakap.
Melayu mengajar anak-anak berlapik cakap dan tahu memilih kata, tetapi bukan sampai terbisu dari menyatakan kebenaran.
Maka janganlah dibebankan Melayu atas nama Islam, kerana bukan Melayu punca kelemahan Islam.
Segala-galanya harus berbalik kepada faktor manusia.
Manusia yang memilih untuk baik atau buruk.
Manusia yang memilih untuk berbudi bahasa atau biadab busuk bicara.
Manusia yang memilih untuk menjadi Muslim yang baik, atau Muslim yang cela.
MASUK KRISTIAN MASUK ENGLISH?
Saya sering juga berfikir, jika kaum Cina yang memeluk Islam mahu menghindari konsep ‘masuk Melayu’, bagaimana pula dengan Cina yang memeluk Kristian begitu selesa meninggalkan nama Cina dan warna rambut asli mereka?
Saya pernah berbual dengan pegawai polis yang datang ke Belfast Islamic Centre, Northern Ireland untuk rutin mereka.
“Saya hairan kenapa komuniti Cina di sini hampir kesemuanya tidak lagi menggunakan nama Cina, sebaliknya menukar nama mereka kepada nama Inggeris dan Irishâ€, kata polis berkenaan.
“Ya, saya juga memikirkannyaâ€, saya menjawab.
“Apakah mereka tidak sayang kepada identiti mereka, sehingga nama dan rupa pun mahu diubahâ€, tanyanya lagi.
Saya hanya mengangguk dan tidak tahu apa yang patut diperkatakan.
Barat telah membaratkan agama Kristian sehingga patung Jesus pun diilustrasikan dengan rupa Caucasian seperti warga Perancis dan Inggeris, sedangkan Jesus adalah warga Timur Tengah yang lahir di bumi Palestin.
Jika orang Timur masuk Kristian kerana mahu jadi ‘orang putih’, kenapa begitu sekali kita memperlekeh orang masuk Islam di Malaysia terkesan dengan budaya Melayu?
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49 : 13)
Allah SWT yang menjadikan manusia itu ada yang Melayu, ada yang Cina, ada yang India. Tujuannya adalah untuk memperkaya dan membangunkan kehidupan manusia. Namun ukuran buruk baik manusia ialah pada Taqwa.
Boleh sahaja Melayu yang Muslim itu menuju Taqwa.
Boleh sahaja India yang Muslim itu menuju Taqwa.
Boleh sahaja Cina yang Muslim itu menuju Taqwa.
Tidak ada pertentangan di antara menjaga kemelayuan Melayu, juga kecinaan Cina atau keindiaan India… pada jalan menuju Taqwa.
Jika ada manusia yang mencemar Islam, dan bangsanya Cina, bukan bangsa itu yang menjadi puncanya.
Jika ada manusia yang mencemar Islam, dan bangsanya India, bukan bangsa itu yang menjadi puncanya.
Manusia sebagai manusia memilih untuk menjadi jahat dan baik, bukanlah kerana genetik tubuhnya pada bangsa, keturunan atau bahasa. Jahat manusia adalah pada nafsu yang ada pada semua bangsa, dan hasutan syaitan yang menghasut semua bangsa.
Maka, dalam usaha untuk memurnikan Islam, islahkanlah manusia, Perbaiki akal, hati dan nafsu manusia agar dia bertaqwa.
Tidak perlu bangsa dimusuhi, kecuali bangsa yang mengangkat kepentingan dirinya atas nama bangsa, mengatasi agama dan jalan Taqwa.
Junjung Islam kerana ia menjelaskan siapa Tuhanmu, pelihara Melayu kerana ia menjelaskan siapa dirimu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Muslim’ Pencemar Islam – by Saifulislam (artikel menarik! sila bace)
Muslim’ Pencemar Islam
Jun 21st, 2007 by saifulislam
Peserta IYEP membentangkan idea mereka tentang Conflict Solutions
Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) yang baru melabuhkan tirainya semalam, telah memberikan saya pelbagai suntikan idea tentang pelbagai perkara. Banyak yang perlu dianalisa, justeru banyak juga yang perlu ditulis untuk dikongsi bersama pembaca.
Rata-ratanya, saya amat berpuas hati dengan kualiti peserta. Setiap seorang yang memohon untuk menyertai program ini perlu menulis sebuah karangan untuk menyatakan sebab minatnya kepada program seperti ini, dan ia diikuti dengan temubual melalui telefon kepada peserta.
Nyata sekali, assessment itu telah berjaya memilih peserta yang tepat dan saya amat teruja dengan tahap pengetahuan anak-anak muda ini dengan pelbagai isu yang diperkatakan.
Hinggakan Karen Armstrong sendiri mendapat pelbagai ’bahan baru’ yang beliau mohon kebenaran peserta untuk menggunakannya di dalam ucapan dan penulisan. Sememangnya sesi soal jawab dan bengkel telah menonjolkan bahawa 50 warga IYEP kali ini adalah pemimpin masa depan yang hebat, semoga Allah memanjangkan umur saya untuk menyaksikannya.
Namun, keghairahan dan kegembiraan kami dengan pelbagai pengalaman baru, telah tercemar oleh suatu insiden yang amat memalukan, khususnya kepada Islam.
LAWATAN KE RUMAH IBADAT
Peserta bersiap sedia menaiki bas untuk lawatan ke rumah ibadat
Pada hari kedua program, kami telah merangka lawatan ke Kuil Hindu dan Buddha serta Gereja Katholik di Kajang. Lawatan dijangkakan berakhir dengan kunjungan kami ke sebuah masjid terkemuka di tanah air kita.
Urusan telah dibuat sejak sekian lama dan pelbagai aturcara telah disusun.
Paling mengagumkan kami ialah kesungguhan Kuil Hindu yang mengatur pelbagai acara, menyediakan makanan vegetarian untuk peserta dan juga mengadakan sesi soal jawab untuk peserta.
Kesungguhan yang sama juga ditunjukkan oleh Kuil Buddha yang kami lawati. Sesi dialog amat menarik. Walaupun ada soalan ’mengarut’ dari peserta tetapi ia dijawab dalam suasana yang ceria dan gembira oleh setiap yang berada di situ kerana tujuan kunjungan kami adalah untuk belajar.
Di peringkat pengaturcaraan program, Gereja Katholik kelihatan agar gementar. Melalui diskusi sebelum berlangsungnya IYEP, nampak sedikit kerisauan dan kami memahaminya kerana perkembangan semasa di Malaysia yang agak panas (Kes Lina Joy dan lain-lain). Namun, akhirnya kami berjaya mengatur lawatan yang sungguh harmoni dan paling saya hargai ialah, paderi yang sepatutnya menyambut kami telah meminta bantuan pegawai lain memandangkan dirinya terpaksa ke hospital untuk pemeriksaan jantung.
Suasana dialog sungguh baik.
Kami telah beberapa kali mengingatkan peserta agar menjaga suasana dengan tidak bersuara tinggi semasa di gereja itu. Suasana sepi adalah sangat penting bagi sebuah gereja Katholik. Namun, orang muda tetap orang muda. IYEP kali ini menerima peserta yang ada sangat banyak bahan untuk dingomelkan. Akan tetapi pihak gereja amat berlapang dada dan tersenyum sahaja dengan kerenah sesetengah peserta.
Peserta IYEP semasa sesi dialog di Kuil Hindu di Kajang
Kuil Buddha juga bersungguh–sungguh menyambut kami
Selepas lawatan selesai, kami dengan penuh girang dan ceria menuju ke masjid terkemuka tersebut.
MASJID OH MASJID
Semasa tiba, tiada siapa yang menyambut kami.
Kakitangan keselamatan pula menyulitkan peserta kerana tidak mengizinkan penggunaan beberapa tandas.
Alhamdulillah seorang juruteknik telah memberikan kami video klip untuk ditayangkan kepada peserta. Segalanya kami lakukan sendiri dan amat mendukacitakan apabila video klip selama 10 minit itu hanya ghairah bercerita tentang aspek-aspek seni bina masjid itu sahaja, tanpa ada langsung menyentuh tentang Islam sebagai intipati sebuah masjid.
Soal jawab dikendalikan oleh Komiti IYEP
Rasa tidak selesa tidak terhenti di situ.
50 peserta telah bersedia untuk masuk ke masjid dan yang perempuan telah pun memakai tudung dan jubah yang disediakan.
â€Berhenti! Orang bukan Islam hanya boleh sampai di sini sahaja!â€, sergah seorang kakitangan keselamatan masjid.
â€Jangan cemar kesucian masjid ini!â€, katanya lagi.
Kesemua peserta terkejut. Saya sendiri sudah panas telinga.
â€Encik, kami sudah buat urusan sejak lebih sebulan yang laluâ€, salah seorang AJK memberikan penjelasan.
â€Mana surat Imam? Kalau tak ada surat Imam, tak boleh masuk. Waktu lawatan sudah habis!â€, pekerja tersebut bercakap dengan begitu kasar kepada kami. Manakala dua tiga orang yang lain sibuk mengepung tangga masjid agar peserta yang sangat teruja ingin melihat masjid, tidak menjejakkan kaki ke atas anak tangga.
Kami cuba mendapatkan Imam, tetapi malang sekali kerana Imam sudah balik. Ada pegawai memberi alasan yang Imam balik kerana kami datang selepas waktu pejabat sedangkan Imam harus bersiap sedia sebelum datang ke masjid semula malam nanti.
Ada pegawai memberikan alasan lain, bahawa kononnya Imam ada urusan dengan anaknya!
Paling mendukacitakan kami, usaha kami untuk mendapatkan penjelasan dibalas dengan herdikan dan suara nada tinggi.
â€Encik bagi surat lambat kan?â€, salah seorang kakitangan masjid cuba membuat tuduhan liarnya.
â€Jangan cakap sebarang cakap. Rujuk balik surat menyurat dan panggilan telefon yang sudah dibuat. Kira berapa hari, berapa minggu, berapa bulan!â€, saya panas hati dengan kelakuan mereka.
â€Apa-apa pun, memang orang bukan Islam TIDAK BOLEH masuk ke masjid. Itu peraturannyaâ€, salah seorang ustaz yang ada meninggikan suara.
â€Peraturan siapa? Peraturan agama? Apa yang saya tahu, Rasulullah SAW menerima semua jenis manusia ke dalam masjid. Soal jawab di dalam masjid. Malah badwi Arab sampai kencing di dinding masjid. Tetapi Rasulullah tidak menegah mereka dari mengunjunginya. Hukum mana yang tuan pegang?â€, saya cuba mencari penjelasan.
â€Saya pergi ke kuil Hindu, Buddha dan Gereja Kristian… saya senang hati dan gembira. Tapi bila saya datang ke tempat saya sendiri, masjid ini… saya sakit hati dengan cara masjid melayan tetamu. Kami bukan walk-in tourists. Kami sudah berurusan dengan masjid sejak sekian lamaâ€, saya masih belum berpuas hati.
Tangan pun sudah seram sejuk menahan marah.
Andaikata tidak boleh sekali pun, kakitangan masjid sepatutnya boleh menjelaskan hal ini dengan cara yang beradab. Tetapi kami diherdik, dimaki hamun, dan apabila saya menyebut begitu, saya memang maksudkan ia sebagai HERDIK dan MAKI HAMUN.
â€Masalahnya kamu datang selepas waktu pejabat. Sebab itu tak ada orang nak layanâ€, kata salah seorang mereka.
â€Kami bukan datang mengejut. Memang sejak awal kita sudah bersetuju bahawa lawatan ini ialah pada waktu petang seperti ini. Paderi yang sakit boleh minta bantuan pegawai lain, tapi Imam tak boleh dapatkan pengganti?â€, saya semakin berang tetapi cuba tidak mengulangi pendekatan usia 20an yang kalau dalam kes seperti ini, mungkin saya sudah mengeluarkan perkataan yang lebih keras, kesat dan tajam.
â€Sekarang ini, semua orang seronok ke gereja, ke kuil Hindu dan Buddha, tetapi kena maki hamun di masjid. Kalau orang tak minat dengan Islam, orang Murtad, kamu nak salahkan siapa? Cuba cakap dengan saya… alangkan saya yang Muslim pun sakit hati, orang lain apatah lagi!â€, saya sedang mengawal letupan.
Pelbagai alasan yang mereka berikan. Akhirnya mereka berkata bahawa mereka menerima arahan orang atas untuk tidak membenarkan orang non Muslim masuk ke masjid.
â€Oh, orang atas. Kalau orang atas cakaplah orang atas. Jangan cakap hukum Islam, sebab Islam tak macam tuâ€, saya meneruskan cakap.
â€Kenapa orang boleh buat benda tak elok atau cakap yang tak elok dalam masjid? Sebab tak ada orang masjid yang nak jawab soalan, melayan tetamu. Macam hari ini!â€, kata saya lagi.
Perasaan bertukar menjadi sedih.
Saya sudah malas untuk meneruskan perbalahan kerana jam pun sudah mencecah 6:15 petang.
Banyak lagi isu yang dipergaduhkan di sepanjang 20 minit pertengkaran saya dengan pegawai masjid tersebut.
‘SAPU SAMPAH!’
Semasa sharing moment peserta di hotel pada sebelah malamnya, isu ini timbul semula. Saya terpaksa membuat justifikasi agar maruah Islam tidak jatuh dan hina disebabkan oleh kelakuan buruk ’orang-orang agama’ Islam itu sendiri.
â€I’m hoping that the incident occurred in the Mosque today, would be a positive lesson for each of us. Even though we have many ideal solutions to offer, we have to admit that people out there are far for ready to accept changes in attitude about religion.
In order to achieve our dream, we must first be able to think positive and learn to differentiate between the custom and widespread misunderstanding among the people, with the true Islam that is so far away from what we have seen todayâ€, saya cuba menenangkan peserta.
Saya cuba berkongsi pengalaman dengan peserta tentang pendekatan saya semasa menjadi Imam di Belfast Islamic Centre.
Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat memulihkan kembali imej Islam yang telah diburukkan oleh masjid dan orang-orangnya siang tadi.
Karen Armstrong telah lebih berjaya mengangkat imej Islam berbanding ‘ceramah’ dan akhlaq orang Islam sendiri.
Saya menangis sendirian di bilik hotel mengenangkan insiden yang amat mendukacitakan ini.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
-
Archives
- September 2007 (1)
- July 2007 (21)
-
Categories
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS